Melayu Ke Mana?
Jun 22nd, 2010 oleh Qaiyum
Komentar dari pengunjung blog Che Det dalam Artikel : ‘Melayu Kemana 2‘
—————————
By on June 22, 2010 12:38 AM
Yang Amat Berbahagia Tun,
1. Perpecahan Melayu boleh mengelakkan terjadinya kejadian seumpama peristiwa 13 Mei 1969. Ini kerana kaum Melayu tidak akan bersatu menentang apa-apa penarikan atau pemansuhan hak-hak istimewa orang Melayu.
2. Perkara ini adalah baik untuk kesejahteraan negara. Golongan kapitalis, yang secara keseluruhannya terdiri daripada bukan Melayu, akan lebih mudah menjalankan aktiviti perniagaan mereka dan seterusnya membantu memperkukuhkan ekonomi negara.
3. Sekiranya kaum Melayu menentang, kaum ini akan dianggap sebagai golongan yang menjejaskan perjalanan ekonomi negara. Tambahan pula, kaum ini telah banyak membebankan negara dengan bantuan-bantuan yang diperlukan mereka.
4. Adalah lebih baik kaum Melayu di Semenanjung Tanah Melayu mengikuti jejak langkah sanak-saudara mereka di Singapura. Dengan pengorbanan hak-hak istimewa orang Melayu dan tanah-tanah pusaka, negara dapat dimajukan dengan jayanya.
5. Pada suatu masa dahulu, Semenanjung Tanah Melayu menjadi kepunyaan orang-orang Melayu. Terdapat sebilangan pedagang India dan Cina yang menetap di Tanah Melayu semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Mereka menghormati adat resam orang Melayu. Ada yang mengahwini orang tempatan. Keturunan peranakan Melayu dan Cina dikenali sebagai Baba dan Nyonya pada hari ini.
6. Kemudian, British membawa masuk lebih ramai orang-orang India dan Cina. Tujuannya adalah untuk mempergiatkan aktiviti ekonomi British di Semenanjung Tanah Melayu. Orang India kebanyakannya bekerja di ladang-ladang manakala orang Cina pula kebanyakannya bekerja di lombong-lombong. British juga ada membawa masuk peniaga-peniaga Cina, iaitu golongan kapitalis.
7. Pada mulanya, golongan kapitalis ini datang ke Semenanjung Tanah Melayu untuk menjalankan perniagaan. Akan tetapi setelah beberapa lama, mereka mendapati amat mudah untuk menguasai ekonomi di Tanah Melayu. Mereka menetap di bandar-bandar besar di mana aktiviti ekonomi rancak berkembang terutamanya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura.
8. Lama-kelamaan, golongan ini sedar bahawa bukan sahaja ekonomi boleh mereka kuasai. Malahan, mereka boleh juga mencuba nasib menguasai politik dan kependudukan di Tanah Melayu. Pada masa ini, ada beberapa kelompok orang Melayu yang mulai sedar tentang keadaan yang berlaku. Mereka bersatu menentang Malayan Union.
9. Penentangan Melayu yang paling getir adalah semasa peristiwa 13 Mei 1969. Kuasa politik telah jatuh ke tangan golongan kapitalis bukan Melayu. Bandar-bandar besar, seperti Kuala Lumpur dan Singapura, yang merupakan pusat kegiatan ekonomi telah pun dikuasai.
10. Golongan kapitalis ini akhirnya berjaya menakluki Singapura dan membawanya keluar dari kepunyaan orang Melayu. Mereka mendakwa berjaya memajukan Singapura yang sememangnya telah lama menjadi pusat kegiatan ekonomi utama di Asia Tenggara.
11. Kini orang Melayu hanya mempunyai Semenanjung Tanah Melayu yang juga dikenali sebagai Semenanjung Malaysia. Mereka secara keseluruhannya masih lemah dari segi ekonomi dan dianggap membebankan. Orang Melayu seolah-olah dipandang hina di tempat sendiri.
Mari Baca Tulisan Yang Lain :
- [[ Entri Lain Yang Berkaitan ]]











